|
Penubuhan Laboratori Pendidikan Komuniti dan Pengajian Belia adalah selari dengan teras kedua dalam pembangunan rancangan Malaysia ke-9 iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Adalah menjadi tanggungjawab pihak Universiti khususnya IPSAS untuk membantu pihak kerajaan dalam membangunkan modal insan berkualiti.
Pendekatan melalui latihan, pendidikan dan penyelidikan pembangunan dalam komuniti adalah sangat penting untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya cemerlang, berintegriti, profesional, akauntabiliti dan membudayakan nilai moral yang tinggi serta menjadikan kehidupan untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Pembentukan masyarakat akan datang akan dipengaruhi oleh sifat, sikap dan nilai yang diamalkan oleh belia hari ini. Amalan nilai-nilai murni di kalangan belia hari ini, insya Allah akan melahirkan pemimpin-pemimpin masyarakat akan datang yang bernilai murni dan positif.
Oleh itu tumpuan kepada belia hendaklah diberikan penekanan yang khusus. Salah satu agenda utama IPSAS ialah fokus kepada pengajian belia untuk menjana ilmu baru dan pendekatan mengenai belia agar dapat diserapkan dalam program pembangunan belia. Sub-bidang di bawah laboratori ini adalah seperti berikut:
- Pendidikan Pertanian dan Desa
- Pendidikan Komuniti dan Pembangunan
- Pengupayaan Komuniti
- Pembangunan NGO
- Pembangunan Sumber Belia
- Belia sebagai Rakan Pembangunan
|